Empat tahun lalu menerusi drama Nur Kasih mereka dipertemukan. Bukan sekadar digandingkan sebagai suami isteri, tetapi akhirnya cinta mereka menjadi realiti.
Namun, seiring dengan fenomena Nur Kasih yang makin berlalu, begitulah juga dengan cinta yang bersemi di antara Adam yang dilakonkan Remy Ishak dan Nur lakonan Tiz Zaqyah Razak.
Nyata, episod cinta yang terjalin di lokasi drama kesukaan ramai itu ternoktah juga di tengah jalan pada pertengahan tahun lalu.
Kini
Tiz Zaqyah sendiri sudah menemui ‘pengganti baru’ di hatinya, manakala Remy pula hangat dikaitkan menjalin hubungan istimewa dengan pelakon jelita, Maya Karin.
|
Tiz Zaqyah |
Bagaimanapun, kedua-duanya ‘ditemukan’ kembali pada malam gala sempena tayangan drama 26 episod lakonan mereka, Cinta Jangan Pergi untuk TV9, baru-baru ini.
Yang pasti, kedua-duanya cukup profesional. Bahkan, apabila diminta bergambar berdua untuk sesi fotografi bersama, mereka tidak mengelak sebaliknya memberikan kerjasama baik.
Remy yang membawakan watak Kalil dan Tiz sebagai Lea Soraya dalam drama yang akan menemui penonton pada 6 April nanti, jam 8.30 malam itu, masih lagi berlakon sebagai pasangan kekasih.
Disiarkan dua malam berturut-turut, setiap Sabtu dan Ahad, ia mengetengahkan kisah percintaan antara Kalil dan Lea Soraya ketika mereka melanjutkan pengajian di luar negara.
Berbicara mengenai keserasian yang masih wujud dalam lakonan Remy dan Tiz, walaupun ketika penggambaran drama ini dibuat hubungan cinta mereka sudah berakhir, jawapannya adalah profesional.
"Saya mengambil pendekatan bersikap profesional sepanjang penggambaran drama itu kerana cukup tertarik dengan jalan cerita diketengahkan serta karakter Kalil yang dilakonkan," kata Remy.
Katanya, enggan ketinggalan dalam penjiwaan watak sebagai Kalil yang romantik dan tidak suka merancang, dia berusaha tidak mahu terlalu melayan perasaan peribadi itu.
“Saya letakkan di dalam hati untuk bergembira dengan watak Kalil dan syukur dapat melakonkannya dengan baik dalam situasi yang begitu seronok.
“Semuanya berjalan lancar dan sama ada saya mahu pun Tiz, kami masih lagi boleh berbincang serta berbual bersama untuk merealisasikan karakter masing-masing.
“Kami cukup profesional dan saya juga masih seronok dapat bekerjasama dengan Tiz di dalam drama percintaan arahan Kabir Bhatia ini sekali lagi,” katanya.
Enggan mengulas lanjut kisah percintaannya yang sudah berlalu, Remy berkata, dia lebih selesa memilih untuk bersikap mendiamkan diri.
Katanya, dia seorang yang pemalu untuk terlalu membicarakan soal peribadi. Apatah lagi sudah terdidik dengan sifat itu oleh keluarganya sejak kecil lagi.
Menyentuh pula kisah hubungan ‘istimewa’ dengan Maya, aktor diminati ramai ini memaklumkan mereka berdua hanyalah teman rapat saja.
“Soal jodoh ini ketentuan Tuhan dan apa yang boleh saya katakan, hubungan dengan Maya setakat ini hanya sebagai kawan rapat. Namun, saya tidak tahulah bagaimana pula status hubungan kami ini pada masa akan datang dan biarlah ia ditentukan Tuhan. Lagi pun, soal jodoh tak boleh diramal,” katanya.
Mengakui dia kembali aktif semula di pentas teater tahun ini, Remy yang ditanya mengenai hubungan cinta baru Tiz berkata, dalam soal itu lebih bagus jika sama-sama mendoakan yang terbaik saja.
Tampil dengan wajah penuh ceria dan berseri-seri, ia nyata tidak mampu menolak kenyataan bahawa hati Tiz Zaqyah kini dipenuhi cinta serta bahagia.
Memilih cinta pemuda biasa untuk bertakhta di hatinya, Tiz berkata, dia cukup selesa kerana kisah percintaannya tidak lagi terlalu menjadi perhatian umum.
Pun begitu ujarnya, pemuda yang dikenali dengan nama Daniel Haziq yang juga rakan pada zaman persekolahannya dulu bukanlah ‘punca’ kemusnahan hubungan cinta dibina bersama Remy.
“Dia (Daniel) hadir dalam hidup saya selepas beberapa bulan putus cinta dengan Remy. Kami bertemu dalam majlis pertemuan semula rakan sekolah lama yang dianjurkan.
“Sejak itu, kami mula berkawan kembali dan lama-kelamaan semakin serasi. Dia begitu memahami sikap saya dan cukup bersabar. Jadi, kami saling menyenangi antara satu sama lain.
“Saya suka dia kerana sikapnya yang matang, tenang, lemah-lembut dan sangat sabar. Bahkan, keluarga juga sudah tahu dan menerima hubungan kami,” katanya.
Berbicara mengenai perancangan perkahwinan, Tiz berkata, perkara itu belum lagi difikirkan kerana faktor usia yang masih muda.
“Buat masa ini, biarlah kami bercinta dulu dan juga memberi fokus pada karier masing-masing. Apabila sudah stabil dan bersedia, maka mungkin boleh memikirkan soal itu (perkahwinan) pula.
“Apapun, kini saya mengharapkan hubungan kami berjalan lancar dan doakan yang terbaik serta semoga berpanjangan,” katanya yang akan muncul dengan drama baru arahan Raja Ahmad Alauddin.
Berbicara mengenai Remy pula, Tiz berkata, biar pun mereka tidak lagi bercinta tetapi hubungan antara satu sama lain masih baik dan profesional.
"Saya juga sering terserempak dengan Remy di merata tempat dan kami tidak bermusuhan. Hubungan cinta kami juga putus secara matang.
"Menyentuh soal hubungan Remy dan Maya, itu urusan mereka dan saya doakan saja yang terbaik. Malah saya turut tumpang gembira jika Remy sudah menemui cinta baru," kata Tiz.